Jumaat, 13 November 2009

BAI’AH PAS DIBANTAH

|

Oleh: Abu Shaukah Filmanzil

Saya amat terkejut apabila membaca tajuk utama “Bai’ah Pas Dibantah” dalam sebuah akhbar pro kerajaan beberapa hari lepas.Terkini sebuah lagi akhbar yang juga pro kerajaan mengulas isu yang sama.Terkejutnya saya bukan disebabkan isu bai’ah yang digembar gemburkan itu tetapi terkejut disebabkan isu bai’ah itu diulas oleh orang yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan dan pendokong UMNO , serta Ulamak-ulamak yang menjadi poroksi UMNO. Sekiranya bantahan sebegini rupa disuarakan oleh mereka yang sememangnya UMNO apa perlu tajuk tersebut dimukadepankan oleh sebuah akhbar arus perdana yang ditatapi oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik. Lainlah jika bantahan itu disuarakan oleh wakil rakyat atau orang PAS yang terlibat dengan bai’ah tersebut.

Suka saya menarik perhatian pembaca, bai’ah yang digembar gemburkan itu bukan menjadi pegangan atau sesuatu yang diarahkan oleh PAS pusat maupun negeri tetapi bai’ah itu mungkin inisiatif yang diambil oleh PAS kawasan-kawasan tertentu sebagai langkah menjaga masalahah masyarakat. Hati saya amat sedih ketika membaca kenyataan seorang yang mempunyai kedudukan yang agak tinggi dalam perjawatan agama yang menyatakan PAS seolah-olah mempertuhankan politik dengan melaksanakan baiah dan mempertaruhkan keharmonian rumah tangga demi cita-cita politik mereka.

Sekian lama saya mengikuti perjalanan PAS, sehingga kini saya masih belum terjumpa amalan atau pegangan yang PAS itu boleh difatwakan sebagai menyeleweng atau terkeluar dari batas aqidah atau agama. Jika ada perbezaan pendapatpun hanyalah pada soal-soal furuq dan perselisihan yang bukan sahaja dengan UMNO malah dengan pendapat-pendapat ulamak yang lebih muktabar. Usah pergi terlalu jauh, perhatikan apa yang terdapat dihadapan kita. Saya kira tidak ada isteri-isteri pemimpin PAS yang tidak bertudung atau mendedahkan aurat. Tidak seorangpun yang bergelar wakil rakyat PAS atau pemimpin PAS gila menari, berjoget,berkaraoke,gila judi dan kaki mabuk. Tidak ada juga ADUN pas yang kaki betina dan berzina. Tidak ada juga pemimpin PAS yang menentang hudud dan soal-soal berkaitan tuntutan agama. Tidak ada juga ADUN atau wakil PAS yang menentang kebaikan, lebih-lebih lagi yang menjadi tuntutan agama. Tidak ada juga ADUN atau wakil PAS yang secara suka rela menerima dan memberi rasuah. Rasuah jika ada dan diuar-uarkanpun hanyalah yang bersifat teknikal dan boleh dipertikaikan. Justeru itu apa perlu dikecohkan sangat jika ada sesuatu “benda baru” yang dibuat untuk mendaulatkan Islam itu sendiri termasuklah hal-hal berkaitan politik. Berpolitik untuk Islam kerana politik itu sebahagian daripada agama bukan mempergunakan Islam untuk Politik

Pihak-pihak yang mempunyai kuasa terutama dalam bidang agama seharusnya lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan. Jangan terlalu cepat mengeluarkan hujah tanpa melihat sesuatu yang digembar gemburkan itu mengikut fikiran sendiri. Renungilah diri, bukankah bertaqlik semasa selesai upacara pernikahan sepasang pengantin itu diadakan bertujuan untuk menjaga masalahah atau kepentingan pihak perempuan. Saya telah merujuk beberapa kitab berkaitan nikah kahwin dan bertanyakan beberapa guru yang mempunyai pandangan yang diyakini. Hasilnya tidak seorangpun menyatakan bertaqlik yang menjadi syarat wajib bagi Jabatan Agama sesetengah negeri itu ada nas atau dalil yang kukuh bagi melaksanakannya. Jawapan yang diberikan hanyalah sebagai langkah untuk menjaga masalahah atau kebajikan pihak perempuan. Jika isu bai’ah yang saya kira bertujuan untuk menjaga masalahah masyarakat itu boleh dikatakan bertuhankan politik, mengapa pula dalam hal taqlik ini tidak dikatakan bertuhankan Jabatan Agama atau lebih sedap lagi dikatakan bertuhankan mufti?

Umum telah mengetahui tujuan PAS ditubuhkan adalah untuk melaksanakan tuntutun dan syariat Allah berpandukan Al-quran,Hadith,Sunnah,Ijmak dan Qias. Sesuatu usul atau pandangan yang telah,sedang dan akan dilaksanakan bukanlah berpaksikan hawa nafsu. Dalam isu bai’ah secara peribadi saya amat bersetuju dan dipertahankan demi menjaga masalahah atau keperluan masyarakat. Kita telah menyaksikan contoh ADUN atau wakil rakyat yang diberi kepercayaan oleh rakyat tetapi mengkhianati amanah yang diberikan. Sekiranya seorang dua yang khianat dan tidak menjejaskan kestabilan kuasa pemerintahan mungkin tidak mengapa, tetapi apabila sudah menjadi pertikaian dan menyebabkan rakyat hidup tidak tenteram dan harmoni, saya kira dosanya lebih kasar jika dibandingkan dengan berbai’ah yang hanya menjejaskan satu keluarga sahaja. Itupun jika ADUN atau wakil itu berpaling tadah, jika tidak, ianya bukan satu isu pun. Yang menjadi “dajalnya” sekarang ini, mereka yang gila kuasa dan kedudukan sebab itu tidak berani melepaskan jawatan walaupun sudah berpaling tadah.

Kalau benarpun seseorang ADUN atau wakil rakyat tidak setuju dengan dasar parti atau tidak sebulu dengan pucuk pimpinan, letak sahaja jawatan dan serah semula mandat kepada rakyat. Apa perlu melompat parti. Saya kira isu bai’ah ini tidak timbul langsung implikasinya pada masyarakat, ADUN atau keluarga ADUN. Yang menjadi masalahnya ialah UMNO, tidak dapat membeli atau menarik ADUN-ADUN dan AP PAS menyertai mereka sekiranya wakil-wakil PAS itu berbai’ah. Itu sebablah mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk memperkudakan golongan agama bagi mengeluarkan pendapat atau hujah yang konon-kononnya berpandukan al quran. Contohnya hukuman sebatan kepada peminum arak hanya 4 sebatan konon-kononnya melaksanakan hukum Islam.Kuda-kuda tunggangan UMNO ini hanya diam atau memperakuinya pula. Mufti langsung tidak berani mengatakan bahawa hukuman itu salah dan tidak menepati syariat dan tidak ada usahapun untuk memperbetulkannya walaupun sudah berpuluh tahun menjawat jawatan mufti.

Saya kira juga, puak-puak yang digelar ulamak pendokong,penyokong atau poroksi UMNO ini, jika hidup di zaman Firaun dan ditempat nabi Musa, sudah pasti mereka akan mengatakan Firaun itu benar kerana Firaun yang menyuap nasi ke mulut, membelai serta memberi kesenangan kepada mereka ketika masih kecil hingga dewasa.

Akhirnya saya memohon ampun kepada Allah, jika pandangan saya ini salah. Kepada pembaca saya mohon berfikir secara ilmaiah berpandukan hujah yang Qat’i sebelum menerima pandangan saya. Kepada pejuang gerakan Islam teruskan perjuangan kalian, jangan terpengaruh dengan cakap-cakap atau bisikan yang cuba memporakperandakan iqtikad kalian. Ingatlah Islam itu benar dan politik Islam juga benar. Menjadi kewajipan kalian mempertahankan kebenaran. Isu-isu remeh seperti masalah seorang dua kepimpinan itu bukan topik utama. Kembali kepada pegangan kalian, dasar perjuangan Islam yang kalian pertahankan. Pemimpin akan datang dan pergi, dasar Islam yang menjadi wadah akan kekal hingga ke akhirnya.Berhati-hatilah juga terutama dengan agen-agen luar yang kononnya bersimpati dan mengatakan kalian di pihak benar. Sesekali mereka ini akan menghempas kalian dan perjuangan kalian hingga berkecai dengan mula menyerang kepimpinan kalian. Setiap pandangan atau simpati daripada orang luar atau mereka yang bukan ahli jamaah kalian harus diperhalusi. Sekarang inipun sudah kedengaran cakap-cakap atau tulisan mereka yang mempertikaikan kedudukan pemimpin utama kalian. Ingat, pemimpin utama jamaah kalian, dilantik oleh kalian melalui masyawarah, jangan terikut-ikut mainan politik mereka sehingga PAS juga menerima pukulan perpecahan atau perbalahan 1Malaysia. Wallahuaqlam!


Dipetik dari Islam Penyelesaian.blogspot.com

0 ulasan: