Sabtu, 28 Februari 2009

ROAD SHOW MB PERAK KE BAGAN SERAI

|

Perancangan untuk melaksanakan aktiviti road show MB Perak ke kawasan Kerian khususnya Bagan Serai terpaksa di tunda beberapa kali kerana memberi ruang dan laluan untuk beliau memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkenaan usaha untuk memastikan hak beliau sebagai MB Perak yang sah seterusnya membatalkan perlantikan Dr.Zambry sebagai MB yang haram. Pun begitu, bagi penduduk Bagan Serai, kehadiran beliau semalam (25hb.Februari) telah menjawab segala spekulasi dan persoalan yang berligar-ligar diminda berkenaan tindakan yang dikatakan drastik itu. Walaupun pelbagai risalah dan maklumat telah disebarkan, bagi sesetengah rakyat kata-kata yang keluar dari lidah pemimpin yang dihormati dengan ketegasan dalam tindakan adalah penamat kepada segala persoalan berkenaan kemelut yang berlaku dalam politik dan pentadbiran negeri Perak.

Suasana yang berlaku pada malam tersebut seakan-akan suatu yang ‘luar biasa’. Walaupun Markas Tarbiyyah PAS kawasan Bagan Serai sering melaksanakan aktiviti taklimat penerangan dan ceramah khususnya dengan menjemput beberapa nama besar pimpinan politik Pusat, akan tetapi ‘aura Nizar’ telah menyelubungi markas tersebut bila mana kehadiran ahli-ahli, penyokong-penyokong PAS dan rakyat dari serata pelusuk kampung dan tebuk (istilah penempatan yang sinonim di daerah Kerian)adalah di luar dugaan. Bagi petugas-petugas Unit Amal Bagan Serai dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) seperti tidak menang tangan untuk mengawal pergerakan lalulintas kerana kenderaan yang diletakkan di bahu-bahu jalan bersusun (di kiri dan kanan jalan) sejauh satu kilometer.
Selesai makan malam di Restoran Samad dengan menu utama kari kepala ikan (keistimewaan restoran tersebut) Dato’Seri Ir. Haji Mohd Nizar diringi oleh petugas keselamatan PAS dan AMK dan konvoi motor besar, tiba pada jam 2135H di markas dan disambut dengan laungan takbir berturut-turutan sehingga beliau memasuki dewan sebagai tanda sokongan rakyat dari Daerah Kerian di atas tindakan beliau.Turut hadir pada malam itu ialah AP Bagan Serai, Haji Mokhsin Fadzli, ADUN Gunung Semanggol, Tuan Haji Ramli bin Tusin (YDP PAS kawasan Bagan Serai) ADUN Selinsing, YB Tuan YB Haji Husin bin Din (TYDP PAS kawasan Bagan Serai) dan ADUN Kuala Kurau, YB Abdul Yunus bin Jamahari (Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR Bahagian Parit Buntar) Majlis malam tersebut diserikan dengan deklamasi sajak sepanjang 4 muka yang disampaikan oleh Mohd Nasib bin Rahin atau lebih dikenali dengan nama Tan Kuda (sebab beliau bela kuda) yang merupakan bekas calon bagi DUN Alor Pongsu PRU 12 merangkap Ketua Bahagian PKR Bagan Serai. Suasana dewan kembali luar biasa bila Nizar mengambil alih pentas, dengan sorakan rakyat dan bertambah gemuruh bila Nizar menggunakan beberapa istilah bahasa Banjar seperti kulaan (adik-beradik). Bermula dari ucapan para hadirin langsung tidak berganjak dari tempat duduk (atas lantai beralaskan surat khabar) sehingga akhir ucapan.

Beberapa pekara yang menarik dalam penerangan beliau ialah berkenaan tindakan Almarhum Paduka Seri Sultan Idris Shah yang menyembunyikan diri di sebuah pulau di negeri Perak dengan tidak mencukur jambang dan misai sebagai tanda protes perlantikan Ghazali Jawi sebagai MB perak pada masa itu. Beliau juga menerangkan kepada hadirin pada ketika bertemu paduka Seri Sultan Azlan Shah beliau meminta paduka Seri Tuanku merujuk kata-kata tuanku dalam buku “Constitutional Monarchy, Rule of Law and Good Governance” dalam mewujudkan sebuah kerajaan yang efektif. (Rujuk:http://perakdaily.com/index.php?s=catatan+nizar)

Satu lagi penjelasan yang diberikan ialah tindakan rombongan Dr.Zambry KUDETA untuk mendapatkan khidmat Queen Council (peguam Diraja Institusi Diraja England) dalam mencari jalan bagaimanakah cara memenangi krisis perlembagaan di negeri Perak. Sama ada benar atau tidak proses untuk mendapatkan peguam dari ini dilakukan, KUDETA telah lupa atau sengaja melupakan siapakah yang membawa masuk Yahudi ke bumi Palestin. Atau mungkin kerana mereka tidak yakin dengan kemampuan peguam melayu yang ada dibelakang mereka (tidak termasuk hakim) untuk berhadapan dengan peguam pakatan rakyat.
Pun begitu bagi penduduk Bagan Serai amat pahit untuk ditelan keadaan ini kerana individu yang melalak menyuruh para wartawan keluar semasa sidang akhbar dan menimbulkan permasalahan pada saat-saat getir, berasal dari Telok Medan Bagan Serai. (lebih kurang 500 meter dari Markas PAS kawasan Bagan Serai). Malu bukan kepalang bila anak tempatan membuat onar.

Banyak lagi perkara yang dijelaskan seperti siapakah yang menghapuskan tulisan jawi?siapakah yang menafikan hak 22 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri Perak dan banyak lagi. Masa seakan begitu singkat untuk mendengar penerangan beliau. Akan tetapi kepada penduduk Bagan Serai penjelasan isu ‘Durhaka’ sudah cukup menenangkan hati. Sudah terjawab punca angkara dan gerangan siapakah yang mengeksploitasi keadaan dan kemelut yang terjadi di Perak selama ini.

Jadi jawapan kepada ketiga-tiga persoalan siapakah itu tadi semuanya berpunca daripada UMNO.

Isnin, 16 Februari 2009

MOTIVASI PETUGAS PILIHANRAYA MUSLIMAT PAS KAWASAN BAGAN SERAI

|




DMPK Bagan Serai telah menggerakkan jentera pilihanrayanya bagi membantu Jentera pilihanraya PRK 059 pada 7 April 2009 akan datang. Sehubungan dengan itu, satu program motivasi berperingkat telah diadakan di Markas Tarbiyyah PAS Kawasan Bagan Serai Masjid Tinggi pada 15hb. Februari yang lalu. Program ini merupakan satu pengukuhan bagi menghadapi situasi pilihanraya kecil yang sememangnya lebih mencabar. Motivator yang dijemput bagi menyampaikan ceramah ialah Puan Hajjah nurul Huda Yusof Rawa. Beliau menjelaskan bahawa dalam apa-apa jua perjuangan dan cabaran sekalipun, persediaan dan perancangan yang rapi perlu ada bagi mengatasi segala kesukaran, muslihat dan tekanan khususnya daripada musuh dalam politik.

Sehubungan dengan itu, program motivasi perlu diadakan bagi memastikan setiap jemaah khususnya muslimat-muslimat faham akan matlamat dan tujuan perjuangan. Pada program tersebut turut hadir ialah Hajjah Latifah binti Salleh isteri kepada ADUN Gunung Semanggol yang pada awal telah mengetuai majlis bacaan zikir bersama-sama ajk-ajk DMPK dan para perserta program.

Jumaat, 13 Februari 2009

ROAD SHOW YB HAJI MOHD ABDUL WAHID ENDUT KE BAGAN SERAI

|

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut yang telah memulakan road show beliau ke serata pelusuk kawasan bagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada para petugas yang telah membantu kemenangan PAS di Kuala Terengganu. Beliau menyifatkan sumbangan, usaha dan penat lelah para petugas yang mengorbankan masa, wang dan tenaga sukar untuk dibalas. Bagi penduduk khususnya ahli-ahli PAS kawasan Bagan Serai bertitik daripada pengumuman kemenangan adun Wakaf Mempelam itu pada malam 17 hb Januari yang lalu, satu tabung khas telah telah dilancarkan bagi mengadakan kenduri kesyukuran di atas kemenangan tersebut. Haji Wahid yang dalam siri road show beliau telah hadir bagi meraikan majlis tersebut.


Majlis kesyukuran tersebut diadakan pada sebelah petang
manakala pada sebelah malam pula beliau telah menyampaikan satu ceramah di Markas PAS cawangan Kubu Gajah Semanggol. Beliau juga amat bersimpati ke atas rampasan kuasa yang dilakukan oleh kerajaan haram BN di Perak dan mejelaskan bahawa perkara sedemikian juga pernah berlaku di Terengganu pada tahun 60an iaitu pada pilihan raya pertama bila mana Parti Perikatan yang kalah tipis dalam pilihan raya tersebut telah ‘menarik’ ADUN PAS menyertai Perikatan dan membentuk kerajaan baru.


Di akhir lawatan, beliau telah dijemput ke Kelab penyokong PAS kawasan bagan Serai dan mengambil kesempatan menyampaikan dan mengucapkan terima kasih dan berharap agar kaum cina di Bagan Serai terus memberikan sokongan kepada PAS tanpa berbelah bagi.

Selasa, 10 Februari 2009

TAKLIMAT KHAS SITUASI KERAJAAN NEGERI PERAK DI BAGAN SERAI

|

PAS kawasan Bagan Serai melalui lajnah Penerangan telah melaksanakan satu usaha yang dianggap penting dalam memberi keyakinan kepada penduduk kawasan Bagan Serai. Satu taklimat khas telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, YB Dr. Mujahid Yusof Rawa selaku AJK PAS Pusat kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menerangkan situasi atau perkara sebenarnya yang berlaku dalam kemelut pentadbiran kerajaan Negeri Perak setelah dirampas oleh Barisan Nasional dengan cara yang tidak bermaruah.

Beliau juga meminta agar setiap JKKK terus melaksanakan tugas masing-masing dan menjelaskan perkara yang berlaku kepada penduduk kampung bagi memastikan mereka tidak terkeliru dengan keadaan semasa. YB Dr. Mujahid juga berharap agar semua ahli-ahli PAS dapat memberi kerjasama dalam pilihan raya kecil PRK di Bukit Gantang nanti dalam memastikan PAS memenangi PRK tersebut secara total dan mendapat majoriti tinggi.