Isnin, 23 November 2009

Pesuruhjaya PAS Perak Turun Padang Melawat Mangsa Banjir di Bagan Serai.

|

Banjir di Daerah Kerian khususnya di kawasan Alor Pongsu, merupakan satu fenomena yang lumrah apabila berlakunya hujan lebat. Aliran air sungai yang berdekatan, memasuki kolam atau Tasik Bukit Merah yang merupakan tasik buatan pada era penjajahan Inggeris sekita awal 1900an. Sehingga kini empangan tasik yang hanya mampu menampung air sekitar kedalaman 28 ke 29 meter tidak ‘sanggup’ menerima tekanan air yang berlebihan. Ini kerana lumpur dan mendakan didasar tasik begitu banyak. Hal sedemikian telah ‘memaksa’ pihak yang bertanggungjawab membuka pintu air di dua bahagian yang berbeza bagi mengelakkan empangan tersebut pecahatau runtuh dan juga untuk memastikan laluan jalan keretapi tidak terjejas. Perkara ini telah menjadi perhatian kerajaan tempatan setelah berlakunya banjir besar pada tahun 2003 dan tahun-tahun sebelumnya. Permohonan budget RM 11 juta yang dikemukakan kepada kerajaan pusat, khususnya semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat tidak mendapat perhatian atau ditangguhkan. Bagi pihak penduduk sampai bilakah mereka sanggup bertahan dengan fenomena ini?

Ustaz Abu Bakar Husin menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak

Pada 18hb. Nov. Yang lalu Persuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Husin telah meluangkan masa untuk turun padang menziarahi mangsa banjir di kawasan Kerian. Beliau bersama-sama Timbalan Persuruhjaya II , Ustaz Mustafa Shaari dan Setiausaha Perhubungan Negeri, Uutaz Misbahul Munir melawat mangsa banjir di Pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Bagan Serai yang menempatkan lebih 200 orang mangsa dari pelbagai kaum. Rombongan yang juga disertai oleh ADUN Gunung Semanggol dan ADUN Selinsing serta Pengarah Jabatan Amal Perak telah diberi taklimat awal oleh Penghulu Bagan Serai berkenaan keadaan semasa banjir dan jumlah mangsa yang ditempatkan di sekolah tersebut. Mangsa-mangsa yang dipindahkan adalah dari estet Sungai Bogak dan kawasan berhampiran setelah air dari terusan yang menyalurkan air ke rumah pam Kerian melimpah memasuki kawasan penempatan. Rombongan Persuruhjaya juga mengambil kesempatan menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir khususnya kepada anak-anak mangsa banjir. Beliau yang mewakili seluruh pimpinan PAS Negeri Perak menyatakan rasa simpati kepada mangsa-mangsa banjir berharap agar mangsa banjir sentiasa bersabar dengan ujian yang diberikan oleh Allah S.W.T.

Ustaz Mustafa selaku TPJ II turut menyampaikan sumbangan





Rabu, 18 November 2009

LAWATAN KE PENEMPATAN BANJIR OLEH AJK PAS PUSAT

|


Satu siri lawatan banjir oleh PAS kawasan pada 15hb. Nov. yang lepas oleh pimpinan PAS kawasan Bagan Serai yang diketuai oleh YB Haji Ramli bin Tusin selaku YDP PAS kawasan Bagan Serai juga disertai oleh Tuan Haji Asmuni Awi yang merupakan Pengarah Pilihanraya PAS Negeri Perak. Rombongan PAS kawasan yang dalam perjalanan ke penempatan mangsa banjir singgah menghadiri walimatul’urus adik kepada Naib NYDP PAS kawasan Bagan Serai Ust. Sabri bin Haji Sabran (Anak kepada Mantan PJ PAS Perak) .


Haji Asmuni yang juga merupakan AJK PAS Pusat yang hadir pada
majlis tersebut turut bersama melawat kawasan penempatan mangsa banjir di S.K Alor Pongsu yang menampung kira 500 orang mangsa daripada beberapa buah kampung. Rombongan juga turut meninjau keadaan kawasan banjir yang telah menenggelamkan jalan dari kilometer 13 sehingga ke kilometer 17. Pihak PAS kawasan juga menyampaikan sedikit sumbangan yang telah disediakan oleh Lajnah Kebajikan PAS kawasan dan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Serai bagi membantu meringankan bebanan agensi-agensi yang terlibat dalam bencana ini.

Jumaat, 13 November 2009

Bai'ah Talak 3

|

http://dewanulamakpasperak.blogspot.com/

Ketika mana ahli-ahli PAS sedang berdebar-debar menantikan penganjuran Seminar Memperkasakan Parti di Taman Melewar, media perdana menggembar-gemburkan mengenai Bai'ah Ta'lik Talak 3 yang dilafazkan oleh calon-calon PAS ingin bertanding di dalam pilihanraya. Berbagai persoalan dan bantahan dilaungkan samada oleh ulamak UMNO seperti Jamil Khir, Masyitah dan sebagainya hinggalah kepada ulamak pengampu UMNO seperti Prof. Mahmood Zuhdi dan Tan Seri Harussani. Entah dimana mereka memperolehi nas dan dalil bagi mengharamkan bai'ah tersebut. Antara alasan yang diberikan adalah seperti berikut :


a. Ianya meruntuhkan institusi kekeluargaan.


b. Ianya merupakan satu penghinaan terhadap kaum wanita.
c. Ianya mengembalikan kita balik ke zaman jahiliah, dimana wanita menjadi bahan dagangan, pajakan dan gadaian.

d. Ianya dasar yang berpaksikan kepada alasan dan sandaran aqal dangkal langsung tidak ada sandaran kepada Al Quran.

Membuat Ta'liq dalam perkahwinan termasuk dalam bab Munakahat dan ianya bukan ibadat khusus sebagaimana solat puasa dan sebagainya. Berbeza dengan ibadat yang perlu kepada nas untuk membolehkannya dilakukan, ta'liq harus dilakukan kecuali ada nas yang terang mengharamkanya. Oleh yang demikian pihak yang mengatakannya haram harus mengemukakan dalil pengharamannya, bukan sekadar hentaman berdasarkan akal fikiran semata-mata. Ada beberapa persoalan hukum yang berkait dengan persoalan ini seperti berikut : (http://www.zaharuddin.net/content/view/889/72/)

1) Hukum melafazkan Talaq tiga dengan sekali lafaz

a. Talaq sedemikian adalah HARUS ( dibenarkan) dan jatuh TIGA sekaligus : Ini merupakan ijtihad mazhab Syafie dan Hanbali serta majoriti ulama silam.
(al-Muhazzab, 4/282; Al-Mughni, 7/104 ;)

b. Ia adalah HARAM (DOSA) dan jatuh TIGA : Malik dan Abu Hanifah & Salah satu riwayat dari Ahmad. Ia juga pendapat majoriti Sahabat, tabien dan ulama silam.
(Hasyiah Ad-Dusuqi, 2/385)

c. Ia HARAM tetapi hanya jatuh SATU talaq sahaja : Sebahagian sahabat seperti Ali Abi Talib, Ibn Mas'ud, Abd Rahman Auf, Az-Zubayr Awwam.


Di Negara ini, Mahkamah Syriah adalah pihak yang berbidangkuasa dalam menentukan perkara ini dan biarlah Mahkamah Syriah yang menentukannya jika ada kes lompat parti ini berlaku melibatkan calon-calon PAS nanti.


2) Hukum berbai'ah dengan ta'liq talak.

Mazhab Hanafi dan Ibn Taimiah menegaskan sumpah tersebut adalah bergantung kepada niat, tetapi si pelaku berdosa. Berdasarkan pendapat ini, jika niat suami yang melafaz hanyalah sebagai ancaman kepada isteri atau menegahnya dari melakukan sesuatu perkara. Tatkala itu lafaz ta'liq itu dianggap bukan sumpah sebenar dan apabila ia dilanggari, perlulah si suami membayar kaffarah langgar sumpah yang ditetapkan oleh undang-undang Islam dan isterinya tidak tercerai.


Mazhab Syafie pula menfatwakan bahawa ianya bergantung kepada uruf setempat. Namun kebanyakkan ulasan ulama Syafie menjurus kepada jatuh talaq yang diikat atau dijadikan sumpah, iaitu jika dilanggar dengan sengaja tetapi tidak jatuh jika terlupa atau tidak sengaja.

3) Wajar atau tidak bai'ah dengan lafaz ta'liq tercerai isteri terutamanya dengan tiga talaq.

Pimpinan PAS dan calonnya melafazkan bai'ah sedemikian dalam keadaan sedar dan yakin bahawa mereka akan terus istiqamah dalam perjuangan Islam melalui PAS, dan bai’ah tersebut hanya sebagai pengukuh kepada iltizam tersebut dan bukan untuk meruntuhkan rumahtangga mereka. Mereka menganggap wadah perjuangan ini sebagai suatu yang amat penting dalam hidup mereka. Kecintaan kepada perjuangan suci ini amat dicintai sama seperti cintanya mereka kepada isteri dan rumahtangga mereka.
Mungkin juga seseorang isteri meletakkan syarat berta’lik seperti tersebut kepada suaminya sebagai para syarat kepada kelangsungan rumahtangga mereka. Tidak ada nilai seorang suami bagj seseorang isteri jika sekiranya beliau sanggup mengkhianati perjuangan dan apakah jaminan bahawa rumahtangga mereka juga tidak akan dikhianati.

Maslahah Ammah mesti didahulukan daripada Maslahah Khassah. Bagi mereka yang kenal erti perjuangan, menjaga amanah yang diberikan oleh pengundi adalah amat besar dan pengkhianatannya adalah mudharat yang amat besar. Kejatuhan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak hanya disebabkan pengkhianatan 3 individu yang menumpang nama parti untuk mendapatkan kerusi adalah mala petaka yang amat besar bagi majoriti rakyat Perak yang memilih Pakatan Rakyat bagi memimpin mereka. Maka keruntuhan sebuah institusi keluarga yang sebenarnya ada berbagai cara untuk dibina semula, jauh lebih kecil mudharatnya berbanding keruntuhan sebuah kerajaan yang dipilih oleh orang ramai.

Persoalan mudharat dan hukuman berganda yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak maka apakah bezanya dengan Ta’liq yang dipaksakan ke atas suami oleh Jabatan Agama Islam Perak seperti berikut :

Jika ada perbalahan di antara kedua aku laki isteri maka mengadu isteriku ………………........... bt ………………kepada mana-mana Kadi Syariah dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka mengakulah aku akan berta’liq seperti yang dipersetujukan oleh Kadi itu. Sekiranya ingkar aku daripada berta’liq sedemikian itu maka guguirlah satu talaq di atas isteriku itu.

Tiap-tiap aku ruju’ akan isteriku…………………bt…………….dengan tiada redhanya maka tertalaqlah ia satu talaq pula.

Tidakkah ini membayangkan bahawa suami dipaksa melafazkan sumpah tanpa kerelaannya demi menjaga kepentingan isterinya sedangkan ada kaedah lain seperti fasakh yang boleh digunakandan apakah kepentingan majoriti rakyat sebuah negeri atau negara tidak begitu penting sepenting kepentingan seorang isteri kepada seorang lelaki.

Apa yang penting lafaz Ta’liq adalah haq suami sama sepertimana hukum cerai yang menjadi hak mutlaq bagi suami. Dalam masa yang sama hak bertanding menggunakan bendera parti adalah hak mutlak parti bukan hak seseorang calon. Oleh kerana sistem demokrasi yang terlalu banyak kepincangannya ini boleh menyebabkan terjadinya pengkhianatan oleh seseorang calon terhadap amanah yang diberikan oleh majoriti rakyat maka kemudharatan ini mesti dicegah.

Parti berhak menetapkan syarat bagi membolehkan seseorang mewakili parti. Seseorang ahli tidak pernah dipaksa mewakili partinya. Dia bebas memilih untuk memenuhi syarat yang ditetapkan oleh parti ataupun tidak bertanding ataupun bertanding bebas atau boleh sahaja melompat parti sebelum bertanding. Oleh yang demikian lafaz ta’liq tersebut adalah hak suami tersebut yang bebas untuk diucapkan sama seperti ta’liq ; “jika kamu keluar dari rumah melalui pintu jatuh talak” yang pastinya tidak mempunyai sebarang kemaslahatan untuk dipelihara.

Untuk semua ahli parti, sebaiknya kita merujuk kepada Majlis Syura Ulamak atau Dewan Ulamak untuk mendapatkan penjelasan dan tidak perlulah kita melatah kerana mustahil perkara yang sebegini besar boleh dilakukan oleh pimpinan hanya berdasarkan nafsu dan pemikiran semata-mata.

BAI’AH PAS DIBANTAH

|

Oleh: Abu Shaukah Filmanzil

Saya amat terkejut apabila membaca tajuk utama “Bai’ah Pas Dibantah” dalam sebuah akhbar pro kerajaan beberapa hari lepas.Terkini sebuah lagi akhbar yang juga pro kerajaan mengulas isu yang sama.Terkejutnya saya bukan disebabkan isu bai’ah yang digembar gemburkan itu tetapi terkejut disebabkan isu bai’ah itu diulas oleh orang yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan dan pendokong UMNO , serta Ulamak-ulamak yang menjadi poroksi UMNO. Sekiranya bantahan sebegini rupa disuarakan oleh mereka yang sememangnya UMNO apa perlu tajuk tersebut dimukadepankan oleh sebuah akhbar arus perdana yang ditatapi oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik. Lainlah jika bantahan itu disuarakan oleh wakil rakyat atau orang PAS yang terlibat dengan bai’ah tersebut.

Suka saya menarik perhatian pembaca, bai’ah yang digembar gemburkan itu bukan menjadi pegangan atau sesuatu yang diarahkan oleh PAS pusat maupun negeri tetapi bai’ah itu mungkin inisiatif yang diambil oleh PAS kawasan-kawasan tertentu sebagai langkah menjaga masalahah masyarakat. Hati saya amat sedih ketika membaca kenyataan seorang yang mempunyai kedudukan yang agak tinggi dalam perjawatan agama yang menyatakan PAS seolah-olah mempertuhankan politik dengan melaksanakan baiah dan mempertaruhkan keharmonian rumah tangga demi cita-cita politik mereka.

Sekian lama saya mengikuti perjalanan PAS, sehingga kini saya masih belum terjumpa amalan atau pegangan yang PAS itu boleh difatwakan sebagai menyeleweng atau terkeluar dari batas aqidah atau agama. Jika ada perbezaan pendapatpun hanyalah pada soal-soal furuq dan perselisihan yang bukan sahaja dengan UMNO malah dengan pendapat-pendapat ulamak yang lebih muktabar. Usah pergi terlalu jauh, perhatikan apa yang terdapat dihadapan kita. Saya kira tidak ada isteri-isteri pemimpin PAS yang tidak bertudung atau mendedahkan aurat. Tidak seorangpun yang bergelar wakil rakyat PAS atau pemimpin PAS gila menari, berjoget,berkaraoke,gila judi dan kaki mabuk. Tidak ada juga ADUN pas yang kaki betina dan berzina. Tidak ada juga pemimpin PAS yang menentang hudud dan soal-soal berkaitan tuntutan agama. Tidak ada juga ADUN atau wakil PAS yang menentang kebaikan, lebih-lebih lagi yang menjadi tuntutan agama. Tidak ada juga ADUN atau wakil PAS yang secara suka rela menerima dan memberi rasuah. Rasuah jika ada dan diuar-uarkanpun hanyalah yang bersifat teknikal dan boleh dipertikaikan. Justeru itu apa perlu dikecohkan sangat jika ada sesuatu “benda baru” yang dibuat untuk mendaulatkan Islam itu sendiri termasuklah hal-hal berkaitan politik. Berpolitik untuk Islam kerana politik itu sebahagian daripada agama bukan mempergunakan Islam untuk Politik

Pihak-pihak yang mempunyai kuasa terutama dalam bidang agama seharusnya lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan. Jangan terlalu cepat mengeluarkan hujah tanpa melihat sesuatu yang digembar gemburkan itu mengikut fikiran sendiri. Renungilah diri, bukankah bertaqlik semasa selesai upacara pernikahan sepasang pengantin itu diadakan bertujuan untuk menjaga masalahah atau kepentingan pihak perempuan. Saya telah merujuk beberapa kitab berkaitan nikah kahwin dan bertanyakan beberapa guru yang mempunyai pandangan yang diyakini. Hasilnya tidak seorangpun menyatakan bertaqlik yang menjadi syarat wajib bagi Jabatan Agama sesetengah negeri itu ada nas atau dalil yang kukuh bagi melaksanakannya. Jawapan yang diberikan hanyalah sebagai langkah untuk menjaga masalahah atau kebajikan pihak perempuan. Jika isu bai’ah yang saya kira bertujuan untuk menjaga masalahah masyarakat itu boleh dikatakan bertuhankan politik, mengapa pula dalam hal taqlik ini tidak dikatakan bertuhankan Jabatan Agama atau lebih sedap lagi dikatakan bertuhankan mufti?

Umum telah mengetahui tujuan PAS ditubuhkan adalah untuk melaksanakan tuntutun dan syariat Allah berpandukan Al-quran,Hadith,Sunnah,Ijmak dan Qias. Sesuatu usul atau pandangan yang telah,sedang dan akan dilaksanakan bukanlah berpaksikan hawa nafsu. Dalam isu bai’ah secara peribadi saya amat bersetuju dan dipertahankan demi menjaga masalahah atau keperluan masyarakat. Kita telah menyaksikan contoh ADUN atau wakil rakyat yang diberi kepercayaan oleh rakyat tetapi mengkhianati amanah yang diberikan. Sekiranya seorang dua yang khianat dan tidak menjejaskan kestabilan kuasa pemerintahan mungkin tidak mengapa, tetapi apabila sudah menjadi pertikaian dan menyebabkan rakyat hidup tidak tenteram dan harmoni, saya kira dosanya lebih kasar jika dibandingkan dengan berbai’ah yang hanya menjejaskan satu keluarga sahaja. Itupun jika ADUN atau wakil itu berpaling tadah, jika tidak, ianya bukan satu isu pun. Yang menjadi “dajalnya” sekarang ini, mereka yang gila kuasa dan kedudukan sebab itu tidak berani melepaskan jawatan walaupun sudah berpaling tadah.

Kalau benarpun seseorang ADUN atau wakil rakyat tidak setuju dengan dasar parti atau tidak sebulu dengan pucuk pimpinan, letak sahaja jawatan dan serah semula mandat kepada rakyat. Apa perlu melompat parti. Saya kira isu bai’ah ini tidak timbul langsung implikasinya pada masyarakat, ADUN atau keluarga ADUN. Yang menjadi masalahnya ialah UMNO, tidak dapat membeli atau menarik ADUN-ADUN dan AP PAS menyertai mereka sekiranya wakil-wakil PAS itu berbai’ah. Itu sebablah mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk memperkudakan golongan agama bagi mengeluarkan pendapat atau hujah yang konon-kononnya berpandukan al quran. Contohnya hukuman sebatan kepada peminum arak hanya 4 sebatan konon-kononnya melaksanakan hukum Islam.Kuda-kuda tunggangan UMNO ini hanya diam atau memperakuinya pula. Mufti langsung tidak berani mengatakan bahawa hukuman itu salah dan tidak menepati syariat dan tidak ada usahapun untuk memperbetulkannya walaupun sudah berpuluh tahun menjawat jawatan mufti.

Saya kira juga, puak-puak yang digelar ulamak pendokong,penyokong atau poroksi UMNO ini, jika hidup di zaman Firaun dan ditempat nabi Musa, sudah pasti mereka akan mengatakan Firaun itu benar kerana Firaun yang menyuap nasi ke mulut, membelai serta memberi kesenangan kepada mereka ketika masih kecil hingga dewasa.

Akhirnya saya memohon ampun kepada Allah, jika pandangan saya ini salah. Kepada pembaca saya mohon berfikir secara ilmaiah berpandukan hujah yang Qat’i sebelum menerima pandangan saya. Kepada pejuang gerakan Islam teruskan perjuangan kalian, jangan terpengaruh dengan cakap-cakap atau bisikan yang cuba memporakperandakan iqtikad kalian. Ingatlah Islam itu benar dan politik Islam juga benar. Menjadi kewajipan kalian mempertahankan kebenaran. Isu-isu remeh seperti masalah seorang dua kepimpinan itu bukan topik utama. Kembali kepada pegangan kalian, dasar perjuangan Islam yang kalian pertahankan. Pemimpin akan datang dan pergi, dasar Islam yang menjadi wadah akan kekal hingga ke akhirnya.Berhati-hatilah juga terutama dengan agen-agen luar yang kononnya bersimpati dan mengatakan kalian di pihak benar. Sesekali mereka ini akan menghempas kalian dan perjuangan kalian hingga berkecai dengan mula menyerang kepimpinan kalian. Setiap pandangan atau simpati daripada orang luar atau mereka yang bukan ahli jamaah kalian harus diperhalusi. Sekarang inipun sudah kedengaran cakap-cakap atau tulisan mereka yang mempertikaikan kedudukan pemimpin utama kalian. Ingat, pemimpin utama jamaah kalian, dilantik oleh kalian melalui masyawarah, jangan terikut-ikut mainan politik mereka sehingga PAS juga menerima pukulan perpecahan atau perbalahan 1Malaysia. Wallahuaqlam!


Dipetik dari Islam Penyelesaian.blogspot.com

Khamis, 12 November 2009

Ceramah TGHH di Bagan Serai

|

Kehadiran Tuan Guru Haji Hadi Awang ke kawasan Bagan Serai telah memeberi ruang kepada rakyat negeri Perak khususnya penduduk Perak utara untuk mengetahui beberapa isu semasa yang belaku kini. Turut hadir dalam siri ceramah tersebut ialah Persuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Husin, ADUN Tronoh ,YB Sivakumar, ADUN Titi Serong/ Ketua Penerangan PAS Negeri Perak YB Khalil Idham Lim ADUN Gunung Semanggol, YB Ramli Tusin dan ADUN Selinsing, YB Husin Din.

Siri ceramah isu semasa tersebut juga dihangatkan dengan penerangan isu semasa yang berlaku oleh YB Sivakumar selaku Speaker DUN dan juga YB Khalil Idham Lim selaku Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat. Antara penjelasan yang dibuat oleh kedua-dua YB ADUN tersebut ialah bagaimana sidang DUN kali ini dengan jelasnya memperlihatkan penglibatan pihak POLIS dengan begitu ramai. Dari mula menjejakkan kaki di pintu Pejabat SUK Negeri Perak hinggalah semasa samapi ke pintu dewan tersebut. Juga telah berlaku beberapa sekatan yang melambatkan kehadiran mereka dalam persidangan tersebut. Yang mengejutkan ialah kehadiran bentara seramai lebih 20 orang yang mengawal speaker yang tidak sah yang terpaksa bertahan mengawal kerusi tersebut dari dirampas oleh ADUN pakatan rakyat.

Momentum siri ceramah pada malam tersebut diterjemahkan oleh TGHA sendiri yang sedia maklum mampu menaikkan semangat hadirin yang hadir. Antara petikan ceramah beliau ialah, beliau meminta agar umat Islam agar bangun menentang kezaliman, kemungkaran dan terus berlawan serta tidak mengaku kalah. Beliau juga menjelaskan bahaya orang-orang Islam wajib menunjukan contoh tersebut kepada orang bukan Islam. Walau bagaimanapun pada pilihanraya yang lalu masih terdapat orang Islam yang tidak menyokong perjuangan Islam sebaliknya perkara ini ditonjolkan oleh orang bukan Islam pula yang mempercayai perjuangan Islam dan terus memeberi sokongan. Puncanya adalah kesan pendidikan barat dan penjajah yang diterima oleh masyarakat membuatkan pemikiran mereka menjadi kabur yang menyebabkan ajaran Islam diabaikan. Sehubungan dengan itu, perkara yang perlu dilakukan ialah dengan menukar kerajaan yang sedia ada dan mewujudkan satu perubahan mentaliti agar pemikiran masyarakat lebih memahami idea-idea yang menjurus kepada ajaran Islam.

Dianggarkan seramai 5000 orang membanjiri kawasan markas Tarbiyyah PAS kawasan Bagan Serai di Masjid Tinggi dan Alhamdulillah cuaca pada malam tersebut tenang yang membolehkan hadirin terus mendengar ceramah-ceramah yang disampaikan. Pada malam itu juga diadakan majlis perlancaran Orang Muda Geng Kita peringkat Dewan Pemuda kawasan Bagan Serai dan penyerahan borang keahlian PAS oleh wakil-wakil pemuda dan penduduk disekitar bagan Serai. Sebanyak 120 borang keahlian diterima pad malam tersebut.

Rabu, 11 November 2009

PUKUL CURI

|

Ahad,8hb. November 2009 satu laporan polis telah dibuat oleh AJK PAS kawasan Bagan Serai bersama-sama Dewan Pemuda PAS kawasan Bagan Serai berkenaan satu tindakan provokasi yang berlaku di Bagan Serai khususnya dan di beberapa kawasan di Negeri Perak. Laporan tersebut antara kandungannya meminta agar pihak polis menyiasat perbuatan satu pihak yang tidak bertanggungjawab menggantung banner yang menghina kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz. Tindakan provakotif tersebut telah bermula sejak 7hb. November di kawasan DUN Alor Pongsu seterusnya diseluruh kawasan Bagan Serai. Kumpulan yang tidak bertanggungjawab tersebut memfokuskan kawasan masjid, simpang yang mempunyai lampu isyarat, perhentian bas pokok-pokok di tepi jalan dan juga pondok telefon.

Terdapat juga beberapa poster yang kandungan cuba melaga-lagakan kepimpinan PAS di peringkat pusat, serta beberapa mesej yang boleh mencetus kemarahan ahli-ahli PAS serta PKR. Perbuatan pihak tersebut juga dikatakan dilakukan dibeberapa kawasan khususnya yang dikuasai oleh pakatan rakyat. Modus operandi yang dilakukan adalah sama di semua kawasan yang terlibat bahkan berdasarkan kepada penelitian, kertas yang dicetak juga berkualiti tinggi.

Jumaat, 6 November 2009

|