Selasa, 21 Julai 2009

YAB IR. HAJI NIZAR MENZIARAHI MENDIANG AHLI KELAB PENYOKONG PAS BAGAN SERAI

|

Encik Beh mendengar penerangan ringkas isu-isu semasa

Bersama-sama ADUN-ADUN dan AP Kawasan Bagan Serai serta ahli Kelab Penyokong PAS Bagan Serai.


Dato'Seri Ir Haji Nizar berbual bersama salah seorang daripada anak mendiang

Dalam kesibukan memenuhi permintaan rakyat khususnya dalam menyampaikan ceramah isu-isu semasa, YAB Dato’ Seri Ir. Haji Nizar sempat meluangkan masa untuk menziarahi mendiang salah seorang ahli Kelab Penyokong PAS kaum Cina di kawasan Bagan Serai. Mendiang merupakan yanng meninggal dunia pada umur 94 tahun adalah antara penduduk lama di kawasan Jalan Jetty atau dikenali sebagai “Jalan Market Lama”. Kehadiran beliau pada malam tersebut telah disambut dengan begitu meriah walaupun ia dirancang pada saat-saat akhir. Nizar yang yang hadir seawal jam 7.30 malam telah mengimamkan solat Maghrib di Masjid Bagan Serai seterusnya menziarahi Pejabat Kelab Penyokong PAS yang telah dirasmikan beliau pada 25hb. Julai 2008 yang lalu.

Menurut Encik Beh Heng Kin selaku Pengerusi kelab tersebut, walaupun Ir. Haji Nizar tidak dibenarkan menjalankan tugas sebagai MB tetapi bagi mereka beliaulah MB yang sah sehingga kini. Dato’ Seri Ir. Haji Nizar kemudian dibawa menziarahi mendiang dan sempat bertemu ahli keluarga dan sanak saudara mendiang. YAB Dato Seri Ir Haji Nizar bersama-sama YB Ramli bin Tusin dengan diringi oleh Unit Amal Parit Buntar seterusnya bertolak ke Parit Buntar bagi menyampaikan ceramah kepada penyokong-penyokong Pakatan Rakyat di kawasan Utara Perak.

Isnin, 20 Julai 2009

ZIARAH KE PEKAN HARI MASJID TINGGI

|


Telah menjadi kebiasaan pada setiap pagi Khamis, kawasan Masjid Tinggi menjadi tumpuan para penduduk khususnya sekitar Bagan Serai untuk mendapatkan keperluan harian (makanan) seperti sayur-sayuran, ikan-ikan dan juga buah-buahan serta keperluan-keperluan asas lain. Apa yang menarik di sini ialah walaupun pasar hari tersebut atau dikenali dengan Pekan Khamis diadakan pada hari bekerja, akan tetapi suasananya seakan hari-hari cuti umum. Begitu ramai penduduk-penduduk ‘turun’ samada untuk mendapatkan barang keperluan atau pun mencari sesuatu yang baru diniagakan.

Bagi ADUN Gunung Semanggol suasana inilah merupakan peluang bagi beliau untuk mendekati dan beramah mesra bersama penduduk-penduduk dan juga peniaga-peniaga pada hari tersebut. Walaupun ada diantara peniaga-peniaga datang dari luar Bagan Serai kebanyakan barang jualan adalah segar-segar. Ada diatara peniaga-peniaga yang datang dari Pantai Remis yang membawa hasil laut yang sememangnya menjadi keperluan penduduk-penduduk di kawasan ini. Beliau juga meninjau keadaan persekitaran kawasan berniaga yang lebih luas setelah pembinaan jalan baru ke Kuala Gula. Pada beliau keselesaan penduduk-penduduk perlu dititikberat memandangkan kawasan tersebut adalah laluan utama kenderaan dari Ipoh ke Pulau Pinang yang sememangnya digunakan oleh kenderaan berat. Pada hari tersebut beliau sempat bertemu AP Bagan Serai Haji Mohsin Fadzli yang kebetulan datang untuk mebeli barang keperluan harian beliau.

Isnin, 6 Julai 2009

GERAK GEMPUR DAFTAR PEMILIH BARU BAGAN SERAI

|


Pelancaran Gerak Gempur Daftar Pemilih Baru Peringkat kawasan Bagan Serai telah dijalankan pada 4hb.Julai 2009. Program yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk mengumpul seberapa ramai ahli masyarakat yang layak mengundi untuk didaftarkan sebagai pemilih khususnya bagi pilhanraya yang ke 13 akan datang. Pada majlis tersebut YDP PAS kawasan Bagan Serai YB Tuan Haji Ramli bin Tusin merangkap ADUN Gunung Semanggol telah merasmikan majlis tersebut manakala TYDP PAS kawasan Bagan Serai YB Haji Husin bin Din merangkap ADUN Selinsing pula menyerahkan banner daftar pemilih kepada pengarah-pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) yang akan diguna pakai untuk tujuan program pendaftaran di kawaan MTD masing-masing.

Pada majlis tersebut, saudara Salman bin Saleh selaku Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Perak telah dijemput untuk memberi taklimat berkenaan cara perlaksanaan dan gerak kerja yang perlu dilakukan bagi menjayakan program tersebut. Menurut beliau gerak gempur ini penting bagi memastikan PAS mengekalkan kemenangan seterusnya memperoleh kejayaan besar pada PRU ke 13 nanti. program tersebut telah dihadiri oleh AJK PAS kawasan, AJK MTD Gunung Semanggol, AJK MTD Selinsing dan AJK MTD Alor Pongsu.

Jumaat, 26 Jun 2009

PERTANDINGAN MEMANCING NISA’ BAGAN SERAI MERIAH

|


Hampir 200 orang menyertai Pertandingan Memancing anjuran Nisa’ Kawasan Bagan Serai pada 20hb Jun yang lepas. Pertandingan yang hanya dibuka kepada kaum wanita sahaja telah manarik minat ramai golongan wanita dari kawasan Bagan Serai khususnya surirumah.


Apa yang menarik pada pertandingan tersebut ialah para pemancing tidak putus-putus menaikan keli Afrika dari awal pertandingan iaitu jam 8.45 pagi sehinggalah jam 12.00 tengahari. Pertandingan tersebut juga membuatkan ramai lelaki khususnya kaum bapa terasa tercabar apabila melihat ramai kaum ibu-ibu menaikan keli afrika melebihi 2 kilo.

Pertandingan tersebut juga diserikan dengan acara simbolik memberi makan kepada ikan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Husin bin Din ,ADUN Selinsing selaku perasmi program. Manakala bagi penutup dan penyampaian hadiah pula telah dilakukan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Ramli bin Tusin selaku ADUN Gunung Semanggol.

Antara acara-acara selingan yang diadakan dalam pertandingan tersebut ialah pertadingan mengupas nenas yang juga disertai oleh kaum bapa dan juga acara cabutan bertuah. Apa yang menariknya semasa pengumuman nombor bertuah ramai pemancing-pemancing leka memeberi tumpuan kepada joran masing-masing sehinggakan ada hadiah yang tidak dituntut.

Dalam pertandingan tersebut tempat pertama dimenangi oleh Puan Kamariah binti Johari dengan tangkapan seberat 3.9 kg. Manakala ikan terbanyak pula dimenangi oleh adik Kamalia bt Ramli yang telah menaikan ikan sebanyak 5 ekor yang purata berat melebihi 1.5 kg. Pihak pengajur juga mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada kesemua peserta yang memberi sokongan khususnya kepada para pemancing-pemancing dari Kuala Kangsar yang telah tiba seawal jam 7.00 pagi. Walaupun hanya berjaya menempatkan diri sebagai pemenang keempat, tapi cukup berbaloi dengan tangkapan yang dibawa pulang. Pihak penganjur dan pemilik kolam juga telah memberi kebenaran kepada pemancing untuk membawa pulang ikan yang telah berjaya dipancing.

Menurut Pengarah program Pertandingan, Saudari Anafida binti Osman, pertandingan tersebut adalah program percubaan dan tidak menyangka telah mendapat sambutan yang luar biasa. Ini kerana, pada kebiasaannya pertandingan ini hannya dimonopoli oleh golongan lelaki sahaja. Pada pertandingan tersebut tiada yuran pendaftaran yang dikenakan. Peserta hanya boleh menderma untuk tabung kebajikan Nisa’ kawasan Bagan Serai sahaja. Beliau juga menjelaskan, walaupun kolam tersebut mempunyai banyak spesis ikan, hanya spesis keli Afrika sahaja yang dipertandingkan.

Beliau dan AJK NISA’ kawasan Bagan Serai mengucapkan ribuan terima kasih kepada pemilik kolam iaitu Tuan Haji Sulaiman Zain dan Pengurus kolam saudara Shafrudin Sulaiman kerana memberi kebenaran mengadakan pertadingan tersebut serta menyediakan semua kemudahan tanpa sebarang bayaran.

Sabtu, 20 Jun 2009

JAMUAN DI MARKAS KUBU GAJAH

|


Satu majlis jamuan ringkas telah diadakan oleh Unit Amal Bagan Serai bagi meraikan perlantikan Jawatankuasa baru. Majlis dirancang secara spontan telah diadakan di Markas PAS Kubu Gajah Gunung Semanggol juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara Pimpinan Pemuda PAS kawasan Bagan Serai dan ahli-ahli Unit Amal yang juga dikalangan ahli-ahli Pemuda PAS. Menurut Saudara Ahmad Farid bin Saleh selaku Ketua Penerangan Pemuda PAS kawasan Bagan Serai yang juga Ahli Lembaga Pengarah Amal Perak, acara atau program ini akan dijadikan program bulanan DPPK Bagan Serai khususnya Unit Amal Bagan Serai. Sementara itu, Saudara Abral bin Mohamad Noor selaku Penyelaras Unit Amal Bagan Serai menjelaskan, program tersebut akan di isi dengan pelbagai slot seperti kuliah maghrib, tazkirah dan juga usrah dengan melibatkan pimpinan PAS kawasan Bagan Serai dan juga pimpinan-pimpinan kawasan yang berdekatan.

Dalam program tersebut, Ustaz Akmal bin Haji Kamaruddin selaku Naib ketua DPPK Larut merangkap Ketua Penerangan DPPN Perak telah menyampaikan tazkirah ringkas dan telah disambung oleh Ustaz Idris bin Ismail yang merupakan Timbalan Ketua DPPK Bagan Serai merangkap Exco Pemuda DPPN Perak. Majlis tersebut juga telah dihadiri oleh YB Haji Ramli bin Tusin YDP PAS kawasan Bagan Serai merangkap ADUN Gunung Semanggol dan juga YB Haji Husin bin Din TYDP PAS kawasan Bagan Serai merangkap ADUN Selinsing.