Isnin, 1 Jun 2009

SUKAN PASTI KAWASAN BAGAN SERAI

|



Bagai Garuda Menyerang…. Dimana ada bola disitulah mereka berkumpul. Sehinggakan ada yang terpaksa menjaringkan gol sendiri kerana risau bola ‘dirampas’ pihak lawan dan bagi jurulatih pula, terpaksa menggunakan khidmat ‘Speaker’ tambahan dari kalangan bapa-bapa untuk membantu pasukan masing-masing menang. Bagi pertandingan bola jaring pula, kaum ibu memonopoli permainan tersebut untuk memastikan bola berada didalam kawalan pasukan anak-anak mereka. Namun begitu, kesemua pertandingan berjalan dengan baik dan sempurna, penuh dengan gelak ketawa dan kemeriahan biarpun cuaca panas.



Begitulah suasana pertandingan Bola Sepak dan Bola Jaring Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kawasan Bagan Serai 2009 telah dianjurkan pada 24hb.Mei 2009 oleh Unit PASTI DPPK Bagan Serai. Seramai 250 orang murid-murid dari 12 buah PASTI di kawasan Bagan Serai telah terlibat dalam program tersebut. Program yang diadakan di padang awam Gunung Semanggol bermula pada jam 8.30 pagi yang didahului dengan perarakan kontijen-kontijen PASTI di kawasan Bagan Serai dan bacaan Ikrar oleh murid-murid PASTI. Program tersebut juga telah menarik minat ramai ibu bapa untuk memberi sokongan kepada anak-anak mereka dalam pertandingan-pertandingan tersebut. Menurut saudara Azara’i bin Md. Daud selaku Pengerusi Unit PASTI Bagan Serai, Pihak PASTI sememangnya meminta sokongan penuh bukan sahaja dari kalangan ibu-bapa dan keluarga murid-murid PASTI, malahan melibatkan penduduk kampung PASTI masing-masing. Beliau juga menjelaskan pada program kali ini juga telah diadakan Khidmat Pemeriksaan Kesihatan percuma untuk penduduk-penduduk dan para hadirin yang datang pada program tersebut. Juga diadakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dari umur 4 tahun sehingga 10 tahun mengikut kategori yang telah ditetapkan.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah pemenang telah dilaksanakan oleh saudara Hashan Alhadi selaku Pengarah PASTI Perak. Johan Bola Sepak telah disandang oleh PASTI Selinsing manakala Johan Bola Jaring pula disandang oleh PASTI Parit Haji Taib 3. dalam ucapan penutup, beliau meminta agar ibu bapa terus memilih PASTI sebagai pusat pendidikan awal yang berteraskan Islam dan menjadi duta kepada PASTI untuk memastikan PASTI terus mendapat sambutan. Bagi pihak urusetia program, Jazakallahu Khairan Kathira diucapkan kepada semua pihak khususnya, DPPK Bagan Serai, MGP Bagan Serai, Unit Amal Bagan Serai, Pejabat Kesihatan dan semua pihak yang telibat dalam menjayakan program tersebut.

0 ulasan: