Sabtu, 24 Januari 2009

HARI BERTEMU PELANGGAN DAERAH KERIAN

|






Selasa, 20 Januari ; Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir. Haji Mohd Nizar bin Jamaluddin telah meluangkan masa beliau seharian bertemu para penduduk di daerah Kerian. Lawatan ke Daerah Kerian ini merupakan antara tugas-tugas yang perlu dijalankan oleh beliau sebagai khalifah di muka bumi ini yang telah dilantik sebagai pemimpin yang menerajui kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak.YAB Ir. Nizar dan rombongan yang tiba pada pagi tersebut telah disambut oleh Pegawai Daerah dan Ahli-ahli Yang Berhormat ADUN dan Ahli Parlimen serta Pegawai-pegawai Agensi Kerajaan di Daerah Kerian. YAB MB seterusnya menyampaikan ucapan beliau dan menjelaskan beberapa isu-isu semasa terutamanya isu tanah yang sering digunakan oleh pemimpin UMNO sebagai modal untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan Perak. Selesai ucapan beliau, dilangsungkan sesi dialog bersama rakyat yang rata-ratanya berkaitan dengan keperluan asas di kampung seperti jalan dan lampu, isu pertanian dan perkara-perkara berkaitan dengan soal kebajikan rakyat. YAB MB seterusnya menyampaikan geran hak milik tanah kepada penduduk-penduduk di daerah Kerian. YAB MB juga telah di bawa melawat gerai-gerai pameran agensi-agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan agensi swasta seperti Pejabat Tanah dan Daerah Kerian Majlis Daerah Kerian, Yayasan Perak, Jabatan Agama Islam Perak, jabatan Pertanian Negeri Perak, Sime Darby, Bomba dan Penyelamat Malaysia, PDRM dan banyak lagi. Turut diadakan pada program bertemu pelanggan ialah pemeriksaan kesihatan percuma oleh Pejabat kesihatan Daerah Kerian kepada tetamu yang hadir.


Pada sebelah petang pula selesai daripada meyampaikan kuliah Zuhur di Masjid Daerah Parit Buntar, YAB dan rombongan di bawa ke PPMS Batu 6, Mukim Beriah bagi menyampaikan batuan fakir miskin serta mengambil kesempatan mengacau bubur Asyura. Turut sama ialah YB Haji Husin, YB Haji Ramli dan YB Khalil Idham Lim yang dibantu oleh Penghulu Mukim Beriah dan ketua-ketua kampung berhampiran.



Rombongan YAB MB seterusnya dibawa melawat salah seorang penduduk kampung Kubu Gajah yang terpaksa di potong kedua-dua belah kaki sehingga pangkal peha kerana kanser saraf. Suasana pilu menyelubungi rumah tersebut ketika YAB MB memanjatkan doa kepada Allah subhanahu wata'ala memohon kesejahteraan dan diringankan bebanan pesakit tersebut disamping menyampaikan sumbangan peribadi beliau. YAB MB kemudiannya meneruskan agenda di Kerian dengan menyampaikan kuliah Maghrib di Tajung Piandang dan mengakhiri lawatan dengan program bersama rakyat di kawasan ADUN Kuala Kurau.

0 ulasan: