Isnin, 25 Ogos 2008

Pengakuan Imam Ramlang Porigi

|

RAMLANG Porigi membuat pengakuan kira-kira enam minit pada ceramah kempen pilihan raya anjuran Pakatan Rakyat di Padang Ibu, Penanti, Permatang Pauh malam tadi.
PERMATANG PAUH: Dilihat sebagai satu lagi kejutan kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, imam yang menjadi saksi sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan 15 Ogos lalu, Ustaz Ramlang Porigi muncul di Masjid Perda di sini malam tadi, yang turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan membuat pengakuan sumpah itu tidak sah.
Imam itu membuat pengakuan yang dia telah 'dipaksa' menjadi saksi dan mubahalah dibuat Saiful tidak sah.
Turut hadir di masjid tersebut ketika itu ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS, yang awal-awal lagi telah menegaskan cara Saiful bersumpah adalah salah.
Ramlang berbuat demikian selepas solat maghrib - salah satu acara Anwar pada hari kesembilan berkempen.
Esok ialah hari pengundian pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Saiful membuat sumpah sehari sebelum hari penamaan calon di Masjid Wilayah Persekutuan.
Ini merupakan kali pertama Ramlang muncul di khalayak ramai selepas menjadi saksi sumpah laknat Saiful.
Selain di Masjid Perda, Ramlang juga menjelaskan pendiriannya dalam ceramah kempen Anwar, calon Pakatan Rakyat, di Masjid Timah Kg Belah 2, Seberang Jaya dan kemudian di Padang Ibu, Penanti.
Dalam kenyataan di hadapan kira-kira 2,000 penyokong Pakatan Rakyat di Padang Ibu pada pukul 11.15 malam Ramlang berkata, "pada hari itu (15 Ogos) saya... saya diarahkan oleh orang atasan saya untuk menjadi saksi sumpah Saiful Bukhari, saya antara empat orang imam yang diarahkan untuk menjadi saksi."
"Sumpah itu bukan saya yang aturkan, teksnya disediakan oleh peguamnya atau mungkin ada orang lain yang buat itu," katanya dalam kenyataan kira-kira enam minit.
Ramlang yang muncul dalam pakaian biasa malam tadi, bukannya berpakaian sebagai seorang imam secara berseloroh berkata, beliau kelihatan kemas pada 15 Ogos kerana baru sahaja habis menyempurnakan majlis nikah satu pasangan di Masjid Wilayah Persekutuan.
Tambah beliau: "Apabila dia (Saiful) membacakan teks, dia seolah-olah tidak merasa bersalah.
"Kalau kita seorang Islam yang beriman, kalau kita nak bersumpah ini, kita akan takut apa akan terjadi... tetapi kerana teks ucapan yang dibacakan itu, dia tak rasa bersalah."
Katanya lagi, disebabkan teks itu disediakan dalam tulisan rumi, maka sebutan adalah salah dan tarikh perbuatan dia diliwat juga salah.
"Sepatutnya dia sebut 26 Jun, tetapi dia sebut 28 Ogos," katanya yang menegaskan dirinya seorang imam, bukan bilal.
"Saya rasa para pengundi di Permatang Pauh, mungkin ada yang mengenali saya. Jadi, saya berharap jangan saya dipersalahkan. .. boleh tak," katanya lagi.
Selepas kenyataan itu Ramlang terus dibawa keluar dari tempat ceramah dan diberikan perlindungan oleh Pakatan Rakyat demi keselamatannya.
Dimaklumkan bahawa imam itu akan mengadakan sidang media kira-kira 12.30 tengah malam di Yayasan Aman tetapi bekas Timbalan Perdana Menter itu tidak sertai bersama.
mstar Online difahamkan Ramlang berada bersama rombongan PKR sejak pukul 4 petang semalam.
Sementara ketika ditanya mengapa bertindak membuat pengakuan mengejutkan, Ramlang berkata, beliau berhadapan dengan tekanan ekoran pelbagai melemparkan macam-macam tuduhan yang tidak sepatutnya diterima oleh seorang imam.
"Saya mendapati tiada siapa yang tampil mempertahankan diri saya," katanya.
"Saya dikatakan kurang ajar. Adakah patut saya dicaci," tambah Ramlang pada sidang media yang dihadiri beberapa pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Yayasan Aman di sini.
Ketika sidang media Anwar baru tiba di Yayasan Aman dan bermesyuarat di tingkat satu pejabat yayasan itu.
Menafikan menerima sebarang ganjaran daripada Pakatan Rakyat, Ramlang berkata, beliau bersedia untuk menerima apa juga tindakan - daripada kerajaan dan Umno - selepas ini.
Katanya, beliau masih merupakan kakitangan kerajaan dan akan terus berkhidmat sebagai imam jika tidak dipecat.
Beliau menyerahkan kepada Umno untuk mengambil tindakan ke atasnya. Beliau menjadi ahli Umno sekitar tahun 2003.
"Boleh katakan saya ahli Umno... saya cuma menjadi ahli Umno kerana hendak tolong kawan," katanya yang akan keluar mengundi esok kerana ia hak beliau untuk berbuat demikian.
"Saya tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak... PKR sendiri yang jemput untuk (saya) membuat pengakuan," katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Azmin Ali pula berkata, imam berkenaan sendiri yang menghubungi pihaknya memaklumkan bahawa mahu membuat pengakuan mengenai isu tersebut.
"Kami hanya dihubungi beliau (Ramlang) petang ini dan kami setuju," katanya.
Empat hari lalu beliau mengesahkan kepada mStar Online bahawa beliau merupakan ahli Pemuda Umno dengan nombor keahlian 03405843.
Ketika dihubungi mStar Online, Ramlang berkata, beliau merupakan imam yang sah dan bertauliah.
Beliau tidak menafikan dirinya merupakan seorang ahli Umno yang berdftar dan pengundi di Permatang Pauh.
Peti undi Ramlang ialah Penanti dalam bahagian Permatang Pauh.
Risalah yang diedarkan menyebut beliau bukan merupakan imam sebaliknya hanya bilal.
Kandungan risalah itu menyebut: "Akhirnya tembelang orang yang bernama Ramlang Porigi, yang dikatakan imam yang menjadi saksi sumpah mubahalah Saiful terdedah juga.
"Beliau adalah ahli Pemuda Umno Cawangan Seri Machang dalam Bahagian Bukit Mertajam dengan kod keahlian 03405843.
"Tidak menghairankan kepada semua ini, bagaimana pantas "imam" ini memperakui mubahalah yang dilakukan oleh Saiful, sekalipun mubahalah itu diragui oleh banyak pihak sebagai tidak mengikuti kaedah Islam."

0 ulasan: